Tuesday, 13 November 2012

Pengurusan dan Prospek Ekonomi Malaysia 2012 - 2013 / Bahagian 1


Fahami fakta-fakta ini sebelum membuat rumusan bahwa kerajaan BN tidak melakukan apa-apa kebaikan untuk rakyat Malaysia. Kebanyakkan rakyat Malaysia hanya mendengar ucapan-ucapan pemimpin pembangkang tanpa menyelidiki apa yang telah dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan negara kita maju dan terus maju. Sila amati dan halusi laporan dari Kementerian Kewangan Malaysia ini....Ramai orang hanya tahu "kondem" tetapi apabila ditanya perincian tentang apa yang mereka tidak puas hati atau apa yang dirancangkan kerajaan oleh mereka, ramai yang tidak memahami dan mengetahui. 
Pengurusan dan Prospek Ekonomi
LAPORAN EKONOMI  MALAYSIA 2012/2013


Malaysia terus menuju ke arah wawasan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dalam ketidaktentuan persekitaran luar yang semakin mencabar pada tahun 2012. Prospek pertumbuhan ekonomi global masih tidak begitu menggalakkan disebabkan oleh krisis hutang berdaulat yang sedang dihadapi kawasan euro serta jangkaan pemulihan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih perlahan. Kesan penularan perkembangan ini turut menggugat pertumbuhan ekonomi negara maju dan negara membangun pada kadar yang berbeza, melalui saluran perdagangan dan kewangan. 

Berdasarkan cabaran ini, Kerajaan telah memperkenalkan Dasar Transformasi Nasional (DTN) dalam Bajet 2012 yang menggabungkan pelbagai program transformasi yang berinovatif untuk memperkukuh permintaan domestik dan dijadikan sebagai panduan bagi negara mencapai misi pertumbuhan ekonomi yang berinklusif dan mampan. 

Pelaksanaan program di bawah DTN yang bertepatan pada masanya, termasuk projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) telah sedikit sebanyak berjaya mengurangkan impak daripada sektor luar yang lebih lemah dan membolehkan negara mencatat kadar pertumbuhan yang menggalakkan sebanyak 5.1% dalam tempoh enam bulan pertama 2012. Dengan program di bawah DTN sedang giat dilaksanakan dan hasil kemajuan kesan pengganda yang semakin jelas, ekonomi negara dijangka terus berkembang dalam tempoh separuh kedua 2012 dan seterusnya.

Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang merentasi semua program di bawah DTN bertujuan menyatu padu semua rakyat Malaysia dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang. Program Transformasi Kerajaan (GTP), satu inisiatif di bawah DTN telah
dilancarkan untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam bagi memudahkan pencapaian sasaran di bawah tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). 

Program Transformasi Ekonomi (ETP) merupakan satu lagi usaha di bawah DTN yang menetapkan sasaran untuk pembangunan 12 NKEA bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Program Transformasi Politik (PTP) pula bertujuan mewujudkan situasi demokrasi yang berfungsi sepenuhnya dalam mengimbangi kepentingan keperluan keselamatan negara dan kebebasan individu dengan mengambil kira kepelbagaian ciri-ciri nasional yang kompleks dan ancaman keganasan global. 

Untuk memanfaatkan teknologi digital, Program Transformasi Digital atau Digital Malaysia telah dilancarkan pada tahun 2011 sebagai satu pemboleh penting bagi mentransformasikan negara dengan lebih tertumpu kepada dua teras utama, iaitu produktiviti serta inovasi dan kreativiti. Satu lagi inisiatif baharu di bawah Bajet 2012 ialah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang melengkapkan agenda transformasi nasional untuk kawasan luar bandar.

Selain daripada inisiatif transformasi dan penglibatan aktif sektor swasta dalam program sedemikian, kekukuhan asas ekonomi Malaysia telah meningkatkan daya tahan negara sebagai penampang terhadap sebarang kejutan lanjut dari sektor luar. Walaupun pertumbuhan ekonomi global terus mencabar, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.5% hingga 5% pada tahun 2012, disokong terutamanya oleh perbelanjaan permintaan domestik. Dari sudut permintaan, aktiviti perbelanjaan penggunaan dan pelaburan swasta akan menyokong pertumbuhan, manakala pengembangan ekonomi dari sudut penawaran akan dipacu oleh peningkatan dalam teknologi dan produktiviti pekerja serta penggunaan modal yang efisien. Dalam keadaan sektor luar yang dijangka semakin baik pada tahun 2013, ekonomi Malaysia diunjurkan mencatat kadar pertumbuhan antara 4.5% hingga 5.5% yang disokong terutamanya oleh kekuatan perbelanjaan permintaan domestik.

No comments:

Post a Comment