Tuesday, 13 November 2012

Pengurusan dan Prospek Ekonomi Malaysia 2012-2013 / Bahagian 2


Penilaian Prestasi – 2012
Operasi Fiskal
Sebagai sebuah ekonomi terbuka yang bersandarkan perdagangan, Malaysia terus terdedah kepada kesan ketidaktentuan dan cabaran ekonomi dunia. Oleh itu, beberapa inisiatif dasar fiskal telah digubal untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam tempoh yang terdekat, serta bagi menyokong transformasi ekonomi dalam jangka panjang. Sehubungan ini, Kerajaan masih berpegang pada komitmennya terhadap prinsip pengurusan kewangan yang berhemat dengan defisit fiskal dijangka berkurangan kepada 4.5% pada tahun 2012, dengan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 53.7%. Kedudukan hutang Kerajaan masih lagi mampan dengan defisit fiskal akan dibiayai terutamanya melalui sumber domestik. Memandangkan terdapatnya kedudukan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan, pinjaman kerajaan sedemikian dijangka tidak menjejaskan sumber pembiayaan yang diperlukan oleh sektor swasta.

Bagi keseluruhan tahun 2012, jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dijangka mencecah RM252.4 bilion (2011: RM229 bilion), iaitu 9.4% lebih tinggi daripada anggaran asal RM230.8 bilion. Peruntukan tambahan yang diperlukan ini merupakan pemberian wang tunai, baucar buku dan insentif kewangan kepada kumpulan sasar untuk mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup; bayaran subsidi; penambahbaikan skim gaji dan pelarasan elaun sara hidup untuk kakitangan awam; bayaran pencen; pampasan tol; utiliti dan penyelenggaraan am. Pertambahan komitmen perbelanjaan tersebut akan disokong oleh kutipan hasil yang menggalakkan dengan jangkaan peningkatan sebanyak 11.8% kepada RM207.2 billion. Perbelanjaan mengurus pula lebih tertumpu kepada usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan dan kebajikan rakyat secara berterusan, manakala perbelanjaan pembangunan akan disalurkan kepada program dan projek yang pada keseluruhannya akan mempertingkat kecekapan dan daya saing ekonomi serta kapasiti pengeluaran berproduktif jangka panjang. Dalam hal ini, kedudukan kewangan awam akan diperkukuh melalui pelbagai langkah untuk memastikan pengurusan fiskal yang mampan serta menyumbang kepada peningkatan keyakinan pelabur.

Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan kewangan awam kekal kukuh. Semua program dan projek yang dilaksanakan telah diteliti dan dinilai dengan jitu agar semua perbelanjaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Sehubungan ini, pendekatan two-year rolling plan telah diperkenalkan bagi memberikan fleksibiliti dalam pengurusan perbelanjaan. 

Melalui perancangan ini, Kerajaan mempunyai ruang yang secukupnya untuk mengkaji semula dasar dan keutamaan bagi menghadapi persekitaran ekonomi yang semakin mencabar, di samping mengekalkan kedudukan makroekonomi yang stabil. Pelaksanaan projek dipantau dengan rapi supaya siap dilaksana mengikut jadual, manakala penyertaan Kerajaan dalam kegiatan ekonomi berkurang secara sistematik bagi menarik lebih banyak penglibatan sektor swasta. Peraturan pentadbiran, undang-undang dan prosedur diperkemas secara berkala bagi menambah baik lagi penyampaian perkhidmatan dan iklim pelaburan serta pengawalan kos. Seterusnya, hasil penemuan daripada laporan Ketua Audit Negara telah diambil kira untuk mengukuhkan lagi pengurusan serta meningkatkan akauntabiliti, terutamanya dalam perolehan. Kerajaan juga komited kepada amalan pembidaan kompetitif dalam perolehan barangan dan perkhidmatan bukan strategik bagi menjamin ketelusan serta menekankan kepentingan nilai untuk wang. Syarikat milik Kerajaan pula tertakluk kepada kawalan pemantauan yang rapi untuk memastikan mereka kekal berdaya maju, di samping mencapai objektif strategik.

Perbelanjaan mengurus akan dikawal melalui potongan ke atas perbelanjaan berpilihan yang kurang perlu, tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan. Saiz perkhidmatan awam akan dikawal melalui pengauditan jawatan; penempatan semula kakitangan yang berlebihan; peningkatan kerjasama antara agensi dengan lebih erat, dan penggunaan teknologi maklumat (IT) yang lebih komprehensif dalam penyampaian dan penilaian perkhidmatan awam yang berkesan. Dalam jangka sederhana, beberapa inisiatif sedang dilaksanakan untuk menambah baik kedudukan fiskal yang mampan, termasuk melaksana perakaunan akruan di peringkat Kerajaan Persekutuan; menerima pakai bajet berasaskan outcome dan merasionalisasi insentif fiskal yang diberikan kepada industri. Rasionalisasi subsidi akan terus dilaksana secara holistik dan mengikut sasaran dengan mengambil kira pelbagai program bantuan sosial yang disediakan oleh agensi Kerajaan. Pendekatan yang komprehensif juga sedang dipertimbangkan untuk mengurus obligasi Kerajaan dengan lebih baik yang mempunyai implikasi fiskal jangka panjang. Antara perkara yang sedang diteliti dengan sepenuhnya adalah strategi pengurusan hutang Kerajaan Persekutuan; liabiliti pencen; pengurusan dana pinjaman perumahan bagi kakitangan awam dan tabung pinjaman bagi pelajar pendidikan tinggi.

Dalam meningkatkan hasil Kerajaan, beberapa langkah sedang dilaksanakan, termasuk pengewangan aset melalui penjualan langsung, pajakan atau pembangunan secara usaha sama; peningkatan kecekapan pentadbiran dan pematuhan cukai melalui penggunaan IT secara bersepadu, serta perluasan skop audit percukaian, penyiasatan dan penguatkuasaan. Sehubungan ini, program bina upaya kakitangan percukaian terus dipertingkatkan manakala orang awam turut dilibatkan secara konstruktif untuk meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab percukaian. Langkah komprehensif yang diamalkan oleh Kerajaan dalam memantapkan kedudukan kewangan akan menjamin kedudukan fiskal yang mampan dalam jangka panjang, di samping memberikan fleksibiliti yang secukupnya untuk memenuhi komitmen baharu dan menghadapi cabaran luar jangka pada sepanjang tahun.

Perkembangan Monetari dan Kewangan
Dasar monetari dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012 lebih tertumpu kepada usaha menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan, memastikan kestabilan harga serta mengelak daripada berlakunya pasaran kewangan yang semakin tidak seimbang. Dengan mengambil kira perkembangan luar dan dalam negeri yang tidak menentu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 3.00% dan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) pada 4.00%.
Sistem kewangan domestik kekal berdaya tahan meskipun terdapat ketidaktentuan dan turun naik dalam pasaran kewangan antarabangsa serta pertumbuhan ekonomi dunia yang semakin lemah. Keadaan yang menggalakkan ini adalah hasil daripada keutuhan amalan tadbir urus dan pengurusan risiko yang membawa kepada prestasi kewangan dan kualiti aset yang teguh serta kedudukan mudah tunai yang mantap. Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012, pembiayaan melalui sistem perbankan kekal kukuh dengan permohonan pinjaman meningkat 10% dan pengeluaran pinjaman sebanyak 20.9%. Pada akhir Julai 2012, nisbah modal wajaran risiko (RWCR) berada pada paras 14.4%, manakala nisbah modal teras (CCR) pada 12.7%. Kedua- dua nisbah ini adalah jauh melebihi peraturan minimum semasa.

Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia yang mencakupi 71% daripada terbitan sukuk global dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012. Pencapaian ini adalah termasuk sukuk tunggal terbesar di dunia bernilai RM30.6 bilion yang diterbitkan oleh PLUS Berhad pada bulan Januari. Jumlah aset perbankan Islam berkembang 20.6% kepada RM469.5 bilion pada akhir Julai 2012. Satu inisiatif perintis melalui usaha sama sebuah syarikat pengurusan dana Islam Malaysia dengan sebuah entiti asing telah diwujudkan dengan pelancaran tiga dana ekuiti yang mematuhi Undertakings for Collective Investment in Transferable Securities (UCITS) dan Syariah. Pelancaran dana tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha untuk memperdalam, memperluas dan mengantarabangsakan lagi pasaran modal Islam. Dana yang mematuhi UCITS ini boleh diagihkan dalam kalangan negara ahli Kesatuan Eropah tanpa sebarang kebenaran tambahan.

Pencapaian Strategik Bajet 2012
Bajet 2012 yang bertemakan “Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara” dengan jelasnya mencerminkan komitmen jitu Kerajaan dalam memastikan pertumbuhan yang mampan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Bajet ini telah memberi penekanan kepada lima fokus utama, iaitu meligat pelaburan; mengungguli modal insan, mencerna kreativiti dan mencetus inovasi; program transformasi luar bandar; memperkejap perkhidmatan awam; serta meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat. Beberapa projek di bawah Bajet 2012 telah dan sedang dilaksanakan sementara inisiatif lain sedang berjalan seperti dijadualkan.

No comments:

Post a Comment