Tuesday, 13 November 2012

Politik Songsang


Salah satu aspek yang membawa kepada kemakmuran Malaysia dari segi ekonomi adalah kerana kestabilan politik. Apabila saya ke luar negara, ramai rakan-rakan dari negara luar bertanya kepada saya apakah formula yang diguna-pakai oleh kepimpinan di Malaysia bagi mengekalkan kestabilan politik di sebuah negara yang berbilang kaum. Maka jawapan saya adalah pendekatan atau formula Barisan Nasional. Barisan Nasional mewakili semua kaum-kaum terbesar di Malaysia dan mereka pula diwakili oleh barisan pemimpin yang liberal dan tidak ektremis. Inilah antara punca kestabilan politik di Malaysia. Kenapa Malayasia atau Malaya di jajah oleh British ? 

Ini adalah kerana khazanah dalam perut bumi Malaysia yang kaya dengan pelbagai harta galian, pertanian dan sumber-sumber asli. Sekarang selama lebih 55 tahun merdeka, ekonomi Malaysia antara yang paling kukuh dan kaya di dunia di rantau Asia Tenggara. Keinginan negara-negara barat menjadikan Malaysia sebagai sekutu perdangangan mereka menjadi lebih kuat sekarang ini sepertimana keinginan British menjajah Malaysia suatu masa dahulu. 

Negara kita tidak akan dijajah. Tetapi minda rakyat dapat dijajah kerana dunia sekarang sudah tidak ada sempadan disebabkan oleh pembangunan dalam sektor teknologi maklumat maka seluruh rakyat Malaysia sekarang ini terdedah kepada idea-idea dan pemikiran-pemikiran dari luar negara. Inilah hakikat yang sebenarnya. Sebahagian daripada kepimpinan parti-parti pembangkang di Malaysia mempunyai perhubungan dengan gerakan-gerakan demokrasi dari negara-negara barat. Persefahaman inilah yang telah membawa kepada satu aliran pemikiran politik baru yang dinamakan politik songsang.

Tujuan politik songsang adalah memperjuangkan hak kepentingan kumpulan tertentu bagi tujuan politik semata-mata bukan bagi tujuan memperjuangkan hak rakyat. Namun begitu gerakan politik songsang berselindung disebalik topeng hak kebebasan asasi manusia dan hak kebebasan bersuara.

Jika kita berbalik kepada tujuan asas adanya parti pembangkang maka kita akan dapat memahami agenda sebenar politik songsang. Dalam sesebuah negara perlu ada pihak pembangkang sebagai check and balance kepada pimpinan kerajaan yang sedia ada. Peranan pembangkang adalah untuk memastikan bahawa kerajaan melaksanakan polisi dan perancangan yang membawa kebaikan dan faedah kepada rakyat. Jika ada polisi atau perancangan yang merugikan rakyat maka disinilah tempat dimana pihak pembangkang bersuara.

Namun di Malaysia kita dapati pihak pembangkang bukan sahaja membangkang pada tempat yang tidak kena malah membangkang hal-hal yang sebenarnya membawa kebaikan kepada rakyat. Pihak pembangkang di Malaysia hanya bertindak bukan bagi faedah rakyat tetapi membangkang semata-mata untuk menjatuhkan populariti parti politik yang memerintah tetapi pada yang sama mereka juga ingin melonjakkan populariti mereka dimata rakyat. Akibat daripada tindakan ini maka lahirlah politik songsang. Politik songsang ini tidak berdasarkan fakta atau kebenaran. Ia lebih kepada perasaan dan ia berasaskan kebencian semata. Mana ada manusia yang dapat berfikiran waras jika fikiran mereka dipengaruhi oleh perasaan marah, rasa benci dan dendam kesumat. Inilah antara inti pati politik songsang. Politik songsang mempergunakan rakyat, agama atau lain-lain perkara semata-mata untuk mencapai agenda politik peribadi, politik kebangsaan atau politik kepartian.
Politik songsang tidak mendaulatkan undang-undang, menimbulkan keadaan huru-hara, menyemai perasaan benci membenci antara kaum dan memecah-belahkan masyarakat atas nama idelologi yang berbeza. Pihak-pihak berkepentingan dari barat melihat perkembangan politik songsang sesebuah negara adalah peluang bagi mereka untuk menyokong puak-puak yang mengamalkan politik songsang dan jika kerajaan semasa dapat digulingkan maka pihak-pihak berkepentingan dari barat dapatlah mengambil alih perdagangan dan ekonomi sesebuah negara yang telah dijatuhkan oleh politik songsang. Adakah kita ingin dijajah semula selepas 55 tahun merdeka ?  Adakah kita ingin hancurkan negara kita dengan berpihak kepada pembangkang yang mengamalkan politik songsang dan menghancurkan kestabilan politik yang wujud di negara ini lebih daripada 55 tahun ? Pilihan di tangan kita. 

No comments:

Post a Comment