Wednesday, 19 August 2015

PAP - Menggamit sokongan rakyat kepada parti politik alternatif - (Siri 1)

 
Blog People Against Opposition telah mewawancara dua pengasas People's Alternative Party (Parti Alternatif Rakyat) - Presiden Penaja (PAP) - Saudara Zulkifli Mohd Noor dan Setiausaha Organisasi Penaja (PAP) - Saudara Rahmad Isahak di Hotel Seri Malaysia, P.Pinang, 19 Ogos 2015.
 
Presiden Penaja (PAP) -
Saudara Zulkifli Mohd Noor
Soalan :
Apakah sebab utama PAP ditubuhkan ?
 
 
Saudara Zulkifli Mohd Noor
 
Memandangkan geopolitik Negara hari ini, dimana keresahan rakyat tidak payah diperkatakan lagi, terutamanya memikirkan halatuju Negara menghadapi PRU 14. Banyak telah diperkatakan di dalam forum dan ceramah oleh jawatankuasa parti PAP di seluruh Negara. Parti yang berbilang kaum ini tidak dapat lari dari mempertahankan perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Parti ini adalah platfom baru kepada anak muda, belia, silent majority, para pesara, orang kurang upaya dan mereka yang duduk diatas pagar.
 
Soalan :
Bagaimana kedudukan pendaftaran PAP sebagai sebuah parti politik ? Kenapa masih belum diluluskan ?
 
Saudara Zulkifli Mohd Noor
Maklumbalas yang diterima dari lawatan-lawatan ke seluruh Negara, kerajaan semasa sepatutnya memberi pertimbangan wajar dan meluluskan permohonan PAP secepat mungkin. Pendaftaran PAP telah tertangguh selama lebih satu tahun. Sebuah Negara demokrasi sepatutnya memberi ruang kepada rakyatnya menubuhkan parti-parti politik  sebanyak yang mungkin dan tidak menggalakan calon-calon bebas. Ini disebabkan calon bebas tidak berkemampuan menubuhkan kerajaan.
Setiausaha Organisasi Penaja (PAP) -
Saudara Rahmad Isahak
 
Saudara Rahmad Isahak
Calon-calon bebas hanya bertindak sebagai broker politik yang melukut di tepi gantang tanpa hala tujuan. Kita takut pandangan rakyat terhadap pendaftaran yang tertangguh sebegitu lama memberi persepsi buruk terhadap kerajaan dan bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966. Kita juga tidak ingin melihat keresahan rakyat ini menggalakkan rakyat mengambil tindakan yang tidak rasional dan menyusahkan semua pihak.
 
Soalan
Siapakah golongan sasaran utama PAP dan kenapa ?
 
Saudara Zulkifli Mohd Noor
Sasaran utama PAP adalah pelajar-pelajar universiti yang berumur antara 18 hingga 22 tahun. Setelah mereka meninggalkan pusat pengajian masing-masing, mereka ada pilihan untuk terus berkecimpung dalam arena politik atau tetap di dalam aliran kerjaya atau pengajian mereka. Sekiranya mereka masih minat dalam arena politik, kita dapat memberi bayangan bahawa selepas tiga atau empat tahun mereka menjadi ahli, mereka boleh dipertimbangkan menjadi calon ahli dewan undangan negeri.
 
Saudara Rahmad Isahak
Seterusnya selepas umur mereka menjangkau 36 - 38 tahun keatas, mereka akan dipertimbangkan sebagai Ahli Parlimen. Kita ingin memastikan calon-calon muda ini matang sebelum mereka menjadi Ahli Parlimen. Tujuan mensasarkan anak-anak muda adalah untuk membentuk kepimpinan muda yang baru bagi mewarisi dunia politik tanpa mengira latar belakang keluarga, harta, bangsa dan agama. Kita ingin memberi peluang yang seluasnya bagi anak-anak muda yang berkebolehan dalam bidang politik tanpa ada apa-apa sekatan yang tertentu.
 
Soalan
Adakah PAP akan bekerjasama dengan Barisan Nasional atau pembangkang ?
 
Saudara Zulkifli Mohd Noor
Barisan Nasional atau pembangkang bukanlah musuh PAP. Siapa sahaja yang dapat memenuhi kehendak rakyat akan mendapat sokongan dan kerjasama PAP. PAP akan tetap menentang jika kehendak rakyat tidak dipenuhi. PAP bukan suara ketiga dalam arena politik tempatan tetapi keputusan PRU 14 akan menentukan kedudukan PAP yang sebenarnya berasaskan kepada mandat yang diberikan oleh rakyat.
 
Soalan
Mengapa pemimpin-pemimpin tertinggi PAP terdiri daripada orang-orang awam serta yang tidak mempunyai apa-apa kedudukan dalam dunia politik semasa ?
 
Saudara Zulkifli Mohd Noor
PAP telah membuat satu pendekatan bahawa kita berhasrat untuk menonjolkan nama-nama baru dan tidak menggalakan kepimpinan yang dikitar semula. Politik kitar semula tidak diamalkan oleh PAP.
 
Saudara Rahmad Isahak
Secara tidak langsung ini menghalang politik yang bersifat mengejar kedudukan, pangkat, harta dan kekayaan dari berleluasa di dalam parti. Ini juga pada masa yang sama mengelakkan politik pak turut atau pemimpin yang menjadi boneka kepimpinan atasan.
 
Soalan
Adakah penubuhan PAP bakal menjadi liabiliti kepada gagasan parti-parti politik sedia ada ?
 
Saudara Zulkifli Mohd Noor
Tidak. Ini adalah kerana, Negara yang berpegang kepada prinsip demokrasi, sentiasa memberi ruang kepada parti-parti yang dipilih oleh rakyat untuk memerintah secara sendiri atau bekerjasama dengan parti-parti lain demi kepentingan rakyat.
 
Saudara Rahmad Isahak
Sekiranya Barisan Nasional boleh bekerjasama dengan lebih 14 parti komponen bagi membentuk kerajaan maka parti-parti pembangkang juga boleh berbuat demikian. Ingin ditegaskan disini, PAP ingin berdikari dengan ideologi tersendiri yang diluluskan oleh undang-undang negara.
 
 
Soalan
Apakah parti yang bersifat rasis boleh diterima rakyat ?
 
Saudara Zulkifli Mohd Noor
Kita perlu menerima hakikat bahawa setiap bangsa di Malaysia mempunyai perasaan kekitaan terhadap bangsa masing-masing tetapi perlu ada sempadan dan perbatasan di dalam menjiwai semangat kebangsaan masing-masing tanpa menjejaskan hubungan integrasi nasional di dalam membentuk bangsa Malaysia.
 
Saudara Rahmad Isahak
PAP adalah parti berbilang kaum yang diterajui oleh kepimpinan Melayu yang berasaskan statistik komposisi kaum-kaum di Malaysia. Akan tetapi pada masa yang sama PAP menolak sekerasnya pemikiran politik chauvisnisma, autokratik, diktatorial dan kapitalis.
 
Soalan
Apakah perancangan PAP sekiranya permohonan pendaftaran parti ditangguhkan oleh pihak berwajib ?
 
Saudara Rahmad Isahak
Kita mengharapkan pendaftaran PAP tidak ditangguhkan lagi kerana kita telah menuruti segala syarat-syarat. Kita akur kepada segala peruntukkan Seksyen 6 Akta Pendaftaran Pertubuhan 1966. Kementerian Dalam Negeri hanya perlu memberi kelulusan di bawah Seksyen 8 (akta yang sama).
 
Saudara Zulkifli Mohd Noor
Seterusnya jika permohonan ditangguh juga, kepimpinan PAP tidak dapat mengawal atau menghalang bakal-bakal ahli di seluruh Negara yang berjumlah 1.2 juta jika mereka mengambil tindakan yang tidak memihak kepada kerajaan. 
 
Hasrat PAP adalah untuk menggamit sokongan rakyat kepada parti politik alternatif  !
 
 
 Saudara Zulkifli Mohd Noor
Tel : +60124830878
 
Saudara Rahmad Isahak
Tel: +0194728509

 

No comments:

Post a Comment